Mesej Ketua UMNO Bahagian Serdang


    

Bismillahirrahmanirrahim, 

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera,

Bersyukur ke hadrat Illahi dengan izinNya kita dapat bersama-sama bersua kembali dengan wajah dan sinar harapan yang baharu di  UMNO Bahagian Serdang. Namun, wadahnya masih tetap di landasan yang sama iaitu memperjuangkan parti keramat ini dulu, kini dan selamanya demi memartabatkan bangsa, agama dan negara. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan laman web UMNO Bahagian Serdang.

Usaha mewujudkan laman web ini merupakan tindakan terbaik untuk memanfaatkan dunia teknologi maklumat terkini. Pelbagai program, aktiviti, info dan sebagainya mampu diketengahkan dan diwawarkan sepantas sesaat dengan hanya di hujung jari. Inilah perbezaan zaman yang patut kita renungi dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Apa yang pastinya segala maklumat berkaitan UMNO Bahagian Serdang boleh diperolehi melalui laman web ini pada bila-bila masa tanpa batasan. Laman web ini akan menjadi rujukan penting kepada sesiapa sahaja walau di mana anda berada.

Sesungguhnya saya mengharapkan juga interaksi masyarakat berhubung isu-isu semasa atau sebagainya untuk percambahan idea di laman web UMNO Bahagian Serdang. Suara dan pandangan anda begitu berharga dan amat dihargai. Saya tertarik untuk berkongsi dengan anda tentang sejarah tanah air kita, Malaysia. Negara kita yang terbina sejak 1957 telah mempamerkan satu nilai pengorbanan yang terlalu besar oleh generasi terdahulu. Setelah dijajah lebih dari 400 tahun lamanya, perkara utama mengapa kita perlu mengimbau dan menginsafi kealpaan bangsa kita yang terdahulu adalah supaya kita tidak leka dan belajar daripada kesilapan yang lalu. Dengan imbauan sejarah ini, moga-moga dapat memberi kesedaran mengenai pentingnya melakukan anjakan paradigma dalam pemikiran dan tindakan dalam mewujudkan bangsa yang bermaruah dan merdeka. Konsep-konsep asas kenegaraan harus ditanamkan dalam jiwa setiap rakyat dan perlu untuk memupuk semangat patriotik dalam diri setiap individu. Kepada generasi muda, sorotilah kepayahan perit jerih orang dahulu dan tidak menganggap kita hanya berada di zon selesa. Semoga erti kemerdekaan mampu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Akhirnya, kita dapat berdaya saing seiring dengan arus pemodenan dunia dan terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju di tanah air sendiri.

Salam hormat,

Sekian, wa’s-salam.


 

 

Printer Friendly Page Send this Story to a Friend