Berita Utama : Kerajaan Selangor lupa hari keputeraan?
on 2009/12/9 23:40:00 (98 reads)

SHAH ALAM 8 Dis. - Badan Bertindak Penyatuan Ummah (BBPU) mendakwa kerajaan negeri seolah-olah tidak menghiraukan sambutan Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang jatuh pada Jumaat ini.

Pengerusinya, Ahmad Mahayuddin Abd. Maanaf berkata, walaupun sambutan hari keputeraan baginda hanya tinggal beberapa hari lagi, tiada persiapan mahu pun kain rentang dipasang untuk memberitahu rakyat Selangor mengenai hari istimewa sultan yang selama ini prihatin terhadap masalah rakyat.

"Sikap ini amat menyedihkan dan jelas menunjukkan kerajaan negeri sekarang langsung tidak peka dan menghormati baginda sultan yang merupakan pemerintah dan ketua agama di negeri ini.

"Keadaan ini amat berbeza dengan kerajaan sebelum ini yang amat menghormati baginda dan setiap kali menjelang hari keputeraan baginda pasti sambutan yang dibuat meriah dan dapat dirasai rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, pemerintah Selangor sekarang seperti tidak menghargai kewujudan sultan di negeri ini dan ini amat menyedihkan rakyat.

"Jika hati sultan seorang tidak dapat dijaga dan dilupakan bagaimana kerajaan pakatan pembangkang mahu mengambil hati jutaan rakyat di negeri ini," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sepatutnya sedar apa yang dilakukan oleh mereka akan diperhatikan rakyat dan sebagai pemimpin mereka perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

- Utusan Online

Printer Friendly Page Send this Story to a Friend Create a PDF from the article